Seorang pekerja Indonesia maut, lima cedera, pokok tumbang hempap rumah
Abd Razak Mohd Ali
Februari 6, 2024 05:00 MYT
Februari 6, 2024 05:00 MYT
IPOH: Seorang maut, lima cedera, termasuk seorang parah, selepas sebatang pokok besar tumbang menghempap sebuah rumah di kawasan tanah perkuburan Perpetual Memorial Park, Jalan Tanjung Rambutan, dekat Tambun, petang semalam.
Mangsa yang maut seorang lelaki warga Indonesia, dianggarkan berumur sekitar 40-an.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.45 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika hujan lebat, disertai angin kencang, menyebabkan pokok berkenaan tumbang menghempap rumah kayu yang didiami enam pekerja lelaki warga Indonesia.
Beliau berkata, pada awalnya pihak bomba dimaklumkan terdapat tujuh mangsa terperangkap dan lima telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagaimanapun, hasil maklumat baru yang diperolehi, hanya terdapat enam orang mangsa sahaja yang berada di tempat kejadian.
Menurut Sabarodzi, seorang mangsa yang terperangkap telah dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM.
Selain anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, operasi turut dibantu anggota dari BBP Sungai Siput.
Operasi yang diketua Pegawai Bomba Tinggi II Saharuddin Abdul Ghani tamat jam 9.40 malam.