Seorang pekerja ERL positif COVID-19

Bernama
Januari 23, 2021 23:39 MYT
Kenyataan ERL menyebut syif terakhir pekerja itu bertugas ialah pada 16 Jan lepas di Stesen Transit KLIA Bandar Tasik Selatan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan di Stesen Bandar Tasik Selatan dan Platform Transit KLIA di KL Sentral semalam susulan seorang pekerja wanita di kaunter tiket Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) didapati positif COVID-19.
Kenyataan ERL menyebut syif terakhir pekerja itu bertugas ialah pada 16 Jan lepas di Stesen Transit KLIA Bandar Tasik Selatan sebelum mula berasa tidak sihat keesokan harinya dan sejak itu, dia tidak melaporkan diri untuk bertugas.
Menurut kenyataan itu, pekerja tersebut tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana penumpang atau rakan sejak hari terakhir dia bertugas dan kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Oleh itu, kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi secara menyeluruh telah dilakukan selain lokasi terakhir di mana pekerja terbabit menggunakan perkhidmatan tren selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.
"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa adalah selamat bagi mereka melakukan perjalanan dengan menaiki tren ERL. Meskipun perkhidmatan tren tidak terjejas, ERL akan meneruskan amalan pembersihan, pensanitasian dan disinfeksi yang ketat bagi trennya," katanya.
Selain itu, semua kawasan kontak tinggi termasuk susur tangan atau penggayut serta butang di pintu tren sentiasa disanitasi sepanjang hari dan pembersihan wap dilakukan ke atas tempat pada setiap malam.
Syarikat itu turut mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang COVID-19 di tempat kerja dan semua stesennya dalam usaha memastikan perlindungan maksimum kepada kakitangan dan perniagaannya termasuk pematuhan prosedur kerja yang selamat, latihan standard keselamatan dan langkah-langkah pengawalan risiko.
"Kami menyeru semua penumpang agar terus melindungi diri sendiri dan orang lain dengan mematuhi garis panduan kesihatan bagi mencegah penularan koronavirus (COVID-19) apabila menggunakan pengangkutan awam, contohnya memakai pelitup muka dengan sempurna, daftar masuk dengan aplikasi MySejahtera atau buku log semasa memasuki sesebuah stesen, memeriksa suhu badan, meminimumkan interaksi semasa di dalam tren dan mengamalkan kebersihan serta penjarakan fizikal sebaik mungkin," katanya.
KLIA Ekspres dan KLIA Transit ketika ini mengendalikan perkhidmatan bersama dari 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Orang ramai boleh melayari www.KLIAekspres.com atau Facebook @KLIAekspres untuk maklumat berkaitan waktu tren dan kemas kini perkhidmatan.
-- BERNAMA
#pekerja ERL #ERL #positif COVID-19 #Stesen Bandar Tasik Selatan #Platform Transit KLIA #KL Sentral #Express Rail Link #kaunter tiket #Transit KLIA
;