Seorang parah, seorang cedera kereta terbabas di Sungai Siput

Aida Aziz
Julai 15, 2024 10:00 MYT
Sebuah Toyota Vios terbabas di Jalan Jalong, Sungai Siput, awal pagi tadi, mengakibatkan seorang wanita parah dan seorang lelaki cedera ringan. - Foto JBPM Perak
SUNGAI SIPUT: Seorang wanita parah manakala seorang lelaki cedera ringan setelah kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Jalong, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.18 pagi.
Susulan itu, katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta yang didapati terbabas. Terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun cedera dan seorang wanita 21 tahun cedera parah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Siput menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (EMRS).
Operasi yang membabitkan seramai sembilan orang anggota itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azman Adam dan tamat jam 4.06 pagi.
#kemalangan #cedera parah #Sungai Siput #kereta terbabas