Seorang parah, dua cedera ringan kemalangan babit tujuh kenderaan
Aida Aziz
Oktober 1, 2024 09:15 MYT
Oktober 1, 2024 09:15 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selaran (PLUS), arah utara di sini malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian berlaku sekitar 10.28 malam.
Ujarnya lagi, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dan BBP Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian.
"Kemalangan melibatkan lima buah kereta dan dua motosikal berlanggar, mengakibatkan seramai lapan orang mangsa terlibat.
"Terdapat sebuah kereta jenis Myvi yang dipandu oleh seorang wanita terbalik di susur jalan dan mangsa mengalami kecederaan parah.
"Dua lagi mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan ringan, lima lagi mangsa yang masing-masing menaiki kereta dan motosikal tidak cedera dan selamat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, ketua Operasi melakukan sizeup dan seterusnya mengarahkan anggota membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengambil mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Selain itu, katanya, dua lagi mangsa yang cedera ringan telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS.
Operasi yang diketuai PBK II Sharidzuan Shamsudin itu tamat sepenuhnya jam 11.49 malam.