Seorang nelayan dikhuatiri lemas di Sungai Jebungan, Mukah
Fadilah Sulaiman
Oktober 8, 2021 14:11 MYT
Oktober 8, 2021 14:11 MYT
MUKAH: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke jeti, selepas keluar menjala ikan di Sungai Jebungan, Mukah.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Rashdi Abdullah, 42 tahun sebelum itu keluar menjala pada awal pagi Jumaat.
"Mangsa kemudian gagal dihubungi dan laporan kehilangan diterima Bilik Kawalan Bomba dan Penyelamat Mukah sekitar jam 10.19 pagi, daripada keluarga mangsa.
"Dua pacuan empat roda serta lima anggota kemudian segera diatur gerak ke lokasi, dengan sebuah bot bagi mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat.
"Berdasarkan maklumat awal, perahu mangsa telah ditemui di tebing sungai sekitar jam 9.00 pagi, namun mangsa gagal dikesan," katanya.
Ini merupakan kejadian kehilangan ketiga melibatkan komuniti nelayan dan pemancing di negeri ini dalam tempoh seminggu.
Terdahulu sebuah bot yang membawa 10 pemancing yang menggunakan nama pendaftaran Okinawa karam berhampiran Pulau Satang di Kuching, yang kemudian mengorbankan satu jiwa.
Pada Ahad, satu lagi bot dengan no pendaftaran QKH9826H, yang membawa lima pemancing pula hilang, selepas membawa mereka ke kawasan Karang Berumput dan Tukun Bass.
Sehingga tengah hari Jumaat, mangsa masih belum ditemui dan gerakan SAR masih rancak dilakukan.