Seorang maut, tiga cedera lori terbalik masuk longkang

Adie Sufian Zulkefli
September 4, 2024 10:15 MYT
Seorang lelaki maut sementara tiga lagi cedera selepas lori jenis Hino yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 33.1 susur keluar Lebuhraya Utara Selatan, Kubang Pasu, pada Rabu. - Gambar ihsan bomba
KUBANG PASU: Seorang lelaki maut sementara tiga lagi cedera selepas lori jenis Hino yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik ke dalam longkang di Kilometer 33.1 susur keluar Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.36 pagi.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan daripada talian MERS 999 berhubung kemalangan jalan raya di lokasi kejadian.
“Sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazril Ab Rahman bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Setiba di lokasi, didapati kemalangan itu membabitkan lori yang dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam longkang.
"Empat mangsa berada dalam kenderaan itu yang mana seorang daripadanya tersepit manakala tiga lagi termasuk seorang daripadanya warga asing selamat.
“Tindakan operasi adalah dengan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan anggota mengalami kesukaran untuk mengeluarkan semua mangsa disebabkan ruangan sempit dan berair," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Bustan berkata, mangsa yang tersepit berusia sekitar 30-an disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
#kemalangan #lelaki maut #lori terbalik #Lebuhraya Utara Selatan
;