Seorang maut, tiga cedera kereta terbabas langgar 'backhoe'
Bernama
Jun 9, 2024 11:00 MYT
Jun 9, 2024 11:00 MYT
GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar jentera pengorek kaut (backhoe) dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Bukit Dumbar, awal pagi hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di belakang tempat duduk penumpang depan.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.16 pagi dan terus ke lokasi kejadian sebelum mendapati kemalangan jalan raya melibatkan kereta Proton Saga yang telah terbabas dan melanggar sebuah jentera backhoe, terdapat empat orang dalam kereta itu.
"Dua lelaki mengalami kecederaan ringan, seorang wanita pula yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital manakala seorang lagi lelaki tersepit di ruang penumpang belakang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas dalam masa 15 minit sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. - BERNAMA