Seorang maut, tiga cedera kebocoran gas ammonia

Afiezy Azaman
April 7, 2021 09:50 MYT
Difahamkan kapal berkenaan yang membawa 25 kru itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Zhanjiang, China dari Pelabuhan Al Duqum di Oman. - Foto JBPM
KUALA LUMPUR: Seorang kru kapal kargo maut manakala tiga lagi cedera apabila terhidu bau gas ammonia kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Pulau Selat Kering, pada Selasa.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, kapal dagang itu dari Turki dan dikenali sebagai MV Hamburg DW.
Anggota bomba menerima panggilan pada 12.59 pagi tadi dan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Shah Alam ke lokasi.
“Laporan awal mendapati maklumat diterima daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengenai kebocoran gas dan terdapat empat orang mangsa.
“Kesemua mangsa adalah lelaki dan merupakan kru kapal berkenaan. Dua daripada tiga yang cedera juga berasal dari Turki manakala seorang lagi warga India,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan kapal berkenaan yang membawa 25 kru itu dalam perjalanan ke Pelabuhan Zhanjiang, China dari Pelabuhan Al Duqum di Oman.
Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan selanjutnya.
#China #India #Turki #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #maut #gas ammonia #kapal #kru kapal #Pelabuhan Zhanjiang #Oman #Pelabuhan Al Duqum #kebocoran gas #Norazam Khamis #MV Hamburg DW
;