Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan di Gerik
Nazialita Geynna Maharan
April 24, 2016 14:32 MYT
April 24, 2016 14:32 MYT
Seorang maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 59, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli pada petang Sabtu.
Dalam kejadian sekitar 4 petang itu, seorang lelaki didapati tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Kancil dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Pegawai Bomba Kanan, Meor Muhammad Mohd Tahir berkata pihaknya menerima panggilan pada 5.09 petang dan bergegas ke tempat kejadian.
"Setibanya kami di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Kancil dan Honda City serta mendapati seorang lelaki tersepit di kenderaannya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu malam.
Katanya, tiga lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan Kancil mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.
Meor berkata, empat lagi individu yang berada di dalam Honda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
"Kesemua mangsa yang tidak tersepit telah dikeluarkan oleh orang awam. Operasi tamat sepenuhnya pada 7.53 malam," ujarnya.