Seorang maut, seorang melecur dalam kebakaran di Betong

Rudi Affendi Khalik
November 2, 2019 21:53 MYT
Salah seorang mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran di sebuah rumah, di Perumahan Bebangai, Betong, pada Sabtu. - JBPM
Seorang lelaki maut manakala seorang lagi melecur teruk dalam insiden kebakaran di sebuah rumah, di Perumahan Bebangai di sini petang Sabtu.
Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, mangsa yang identitinya tidak dikenali ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam bilik air, dipercayai lemas ketika berusaha menyelamatkan diri.
"Mayat ditemui dalam keadaan melecur, dengan kesan terbakar di beberapa anggota badan termasuk pada pakaiannya.
Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.54 petang dan sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS segera diaktifkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong, dengan kekuatan tujuh anggota.
"Kebakaran kemudian dapat dikawal sekitar jam 6.17 petang setelah pasukan terbabit melaksanakan pemadaman ofensif sebelum menemui mangsa yang maut.
Mangsa yang melecur pula katanya, sempat menyelamatkan diri sebelum dikejarkan orang awam ke Hospital Betong.
"Mangsa didapati mengalami kelecuran tahap darjah kedua dan memerlukan rawatan lanjut," jelas Ling Hii.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang maut merupakan rakan kepada penghuni bilik yang terbakar dan datang melawat rakannya sejak pagi.
"Kerana itu kita belum mengenal pasti identitinya," katanya lagi.
Kerja-kerja pemadaman diteruskan dengan proses overhaul sehingga sekitar jam 7.54 malam, dengan kemusnahan rumah tersebut adalah sekitar 50 peratus.
Mayat mangsa katanya lagi telah diserahkan kepada pihak polis manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik.
#Betong #JBPM #kebakaran #kesan lecur #mangsa kebakaran #mangsa maut #Sarawak #sesak nafas
;