Seorang maut, seorang lagi cedera dua lori bertembung
Missel Ernie Bick
Ogos 29, 2023 11:00 MYT
Ogos 29, 2023 11:00 MYT
SIBU: Seorang lelaki maut dalam pertembungan melibatkan dua kenderaan di Bukit Sebangkoi, Sarikei pada awal pagi Selasa di Bukit Sebangkoi, Sarikei.
Menurut Pegawai Bomba Kanan Satu, Mijan Pamin, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 5.49 pagi dan tiba di lokasi jam 6.23 pagi Selasa.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan dua buah lori iaitu sebuah lori J&T dan sebuah lagi lori membawa muatan baja.
Semasa kejadian, terdapat dua mangsa tidak sedarkan diri tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan lori J&T.
Manakala dua lagi mangsa di dalam lori yang membawa muatan baja tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang terlibat dalam kemalangan adalah Amiruldin Derus, 28, Saifudin Pawi, 43, Hasrail Kelas, 41 dan mangsa yang meninggal dunia adalah Muhamad Ekxmal Hassim Abdul Rahman, 30.
Mijan berkata Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah bertindak melakukan operasi mengeluarkan kesemua mangsa tersepit dari lori J&T menggunakan peralatan penyelamat.
Setelah itu, mangsa yang disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berserta mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dihantar ke hospital rawatan tindakan selanjutnya.