Seorang maut, seorang cedera lori terbabas
Azee Shafy
April 11, 2023 08:50 MYT
April 11, 2023 08:50 MYT
BENTONG: Kelindan lori maut manakala pemandu cedera dalam satu kemalangan apabila lori yang dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, di Bukit Tinggi di sini, hari ini.
Mangsa, R. Sugumaran, 45 yang beralamat di Kampung Jawa, Klang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara pemandu berusia 34 mengalami kecederaan.
Seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong bergegas ke lokasi kejadian, yang turut dibantu lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Janda Baik.
"Lori dinaiki kedua-dua mangsa terbabas dan melanggar penghadang konkrit menyebabkan mereka tersepit di bahagian kepala lori yang remuk.
"Akibat kejadian itu, salah seorang disahkan maut oleh petugas kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan, manakala seorang lagi mengalami kecederaan," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulfadli memberitahu, pasukan Bomba telah melakukan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan selanjutnya.