Seorang maut, seorang cedera dalam kemalangan enam kenderaan

Bernama
Mac 1, 2017 11:12 MYT
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa terbakar dan pihak bomba mengambil masa dua jam untuk memadamkan api.
Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di KM21, Lebuhraya Seremban-Port Dickson arah Seremban, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, kereta Perodua Myvi yang dipandu mangsa terbakar dan pihak bomba mengambil masa dua jam untuk memadamkan api.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohamed Gadaffi Abd Manaf berkata pemandu kereta berkenaan dilaporkan cedera dan dibawa keluar oleh orang ramai manakala penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Katanya, empat buah kenderaan lain bagaimana hanya terbabit dalam kemalangan kecil dipercayai cuba mengelak kemalangan itu.
Bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan.
"Ketika sampai ke lokasi kejadian, pemandu kereta jenis Perodua Myvi telah pun dibawa keluar manakala penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang sampai ke tempat kejadian," katanya kepada Bernama di sini..
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta yang cedera turut mendapat rawatan lanjut di hospital sama.
-- BERNAMA
#enam kenderaan #kemalangan #motosikal #Port Dickson #Seremban
;