Seorang maut, rakan terselamat ketika mandi sungai

Sinar Harian
April 17, 2022 21:55 MYT
Mangsa lelaki berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia manakala rakannya (gambar) berusia 27 tahun sempat diselamatkan orang awam. - Gambar/ Sinar Harian/ JBPM
TUARAN: Aktiviti dua sahabat yang berkelah dan mandi di sungai Kampung Rugading, Kiulu, di sini, berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka dipercayai meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa lelaki berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan manakala rakannya berusia 27 tahun sempat diselamatkan orang awam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.22 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dari BBP dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 24 kilometer dari BBP Tuaran.
"Mangsa ditemui di dasar sungai oleh penduduk kampung yang menyelam untuk mencarinya namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
"Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan tidak jauh dari lokasi mangsa lemas dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Katanya lagi, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa terselamat dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan jentera EMRS bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 6.15 petang," katanya.
Artikel asal di Sinar Harian.
#lemas #Tuaran #Kampung Rugading #berkelah
;