Seorang maut, nahas tiga lori di Lebuhraya PLUS, laluan arah selatan terhalang

Abd Razak Mohd Ali
Mei 17, 2024 08:30 MYT
Nahas melibatkan tiga lori berlaku di KM367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di laluan Sungkai - Slim River pagi ini, mengakibatkan seorang pemandu maut dan seorang lagi cedera. - Foto JBPM Perak
MUALLIM: Seorang pemandu maut dalam nahas yang melibatkan tiga buah lori di Kilometer (KM) 367 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, laluan Sungkai - Slim River, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, ekoran kemalangan itu, sebuah lori melintang jalan dan semua lorong terhalang, menyebabkan aliran trafik terhenti sepanjang 13km.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan keluar ke Tol Tapah, Bidor atau Sungkai sebagai laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Menurut Mohd Hasni, pihak polis menerima maklumat awal mengenai kemalangan itu kira-kira jam 5.45 pagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan melibatkan dua buah lori dengan muatan buah-buahan dan sebuah lori dengan muatan telor ayam.
Katanya, pemandu lori muatan telur ayam didapati tersepit, seorang lagi pemandu cedera ringan manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, komander operasi melaksanakan size-up serta mengaplikasikan konsep SAVER seterusnya mengarahkan anggota membuat kerja-kerja penyelamatan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat hidrolik.
Mangsa tersepit berjaya dikeluarkan dan disahkan maut oleh pihak perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#JBPM Perak #Lebuhraya Utara Selatan #pemandu lori maut #kemalangan tiga lori
;