Seorang maut, lima cedera dalam kemalangan di AKLEH
Astro Awani
Mei 27, 2021 23:21 MYT
Mei 27, 2021 23:21 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala lima lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 5.7 Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) sebelum susur keluar ke Kuala Ampang pada 6.02 petang Khamis.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang berdekatan.
Jelasnya, seramai lima anggota dan seorang pegawai dari BBP Ampang yang tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian mendapati kejadian melibatkan sebanyak lima buah kenderaan pelbagai jenis dan kesemua mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam.
Tambahnya, seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala lima lagi mengalami pelbagai jenis kecederaan.
Sementara tiga mangsa dibawa ke Hospital Ampang menggunakan ambulans manakala dua lagi dibawa oleh orang awam.
Menurut Norazam, anggota bertugas kemudiannya membuat kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan sisa kemalangan yang terdapat di lokasi kejadian dengan dibantu oleh pekerja AKLEH menggunakan satu aliran salur bantu mula dan serbuk kayu.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya ketika dihubungi sebuah portal mengesahkan kejadian berkenaan.
Jelasnya, siasatan sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian.
Tambahnya, seorang mangsa dilaporkan maut susulan kemalangan itu dan siasatan berhubung kejadian sedang dilakukan oleh pegawai penyiasat.
#Ampang
#kemalangan
#AKLEH
#JSPT
#Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur
#Balai Bomba dan Penyelamat