Seorang maut, enam cedera pertembungan dua kenderaan di Tawau
Petrus Bernard
Disember 4, 2022 10:00 MYT
Disember 4, 2022 10:00 MYT
TAWAU: Seorang maut manakala enam lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah motokar dan sebuah jip, di kilometer 45 Jalan Tawau-Semporna semalam.
Mangsa yang maut, William Jawari, 39 tahun, merupakan warga asing yang beralamat di Semporna.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sebelum kejadian pada kira-kira jam 5.30 petang itu, jip dipandu wanita berumur 24 tahun bersama empat lagi penumpang berumur antara empat dan 49 tahun sedang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna.
Tiba di lokasi kejadian, motokar dipandu lelaki berumur 38 tahun dari arah bertentangan secara tiba tiba muncul dari belakang sebuah lori yang diparkir di bahu jalan dan memasuki lorong jip tersebut.
Akibat jarak terlalu dekat, jip tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan motokar tersebut.
Berikutan pertembungan itu, William, penumpang motokar, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandunya mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan.
Empat lagi mangsa termasuk pemandu jip turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital sama.
Pihak polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.