Seorang maut, empat cedera, nahas dua kenderaan di Bagan Serai

Abd Razak Mohd Ali
Jun 3, 2024 02:40 MYT
Keadaan salah satu kenderaan yang terlibat dalam nahas di Simpang Empat Semanggol. - Foto JBPM Perak
BAGAN SERAI: Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan dua buah kereta di Simpang Empat Semanggol, dekat sini, pagi ini.
Mangsa maut, seorang wanita berusia 52 tahun manakala yang cedera terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki di samping terdapat seorang lagi lelaki yang terselamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7.06 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu sebuah kereta Toyota Yaris dan Perodua Myvi.
“Terdapat enam orang mangsa yang terlibat, seorang mangsa perempuan Melayu disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pihak perubatan manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kesemua mangsa tidak tersepit dan anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bertindak memberi rawatan kepada mangsa yang cedera.
Katanya, mangsa yang meninggal dunia menaiki kereta Perodua Myvi bersama dua wanita dan dua lelaki manakala kereta Toyota Yaris dipandu seorang wanita.
Menurut Sabarodzi, mangsa yang cedera kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Fauziah Baharuddin tamat jam 8.51 pagi.
#Nahas #meninggal dunia #JBPM Perak #Sabarodzi Nor Ahmad