Seorang maut, empat cedera nahas babit 4 x 4, Iswara

Aida Aziz
April 8, 2024 08:15 MYT
Beginilah keadaan kereta Proton Iswara yang terlibat dalam kemalangan dengan pacuan empat roda Ford Rangers sehingga meragut nyawa seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku malam tadi. - Gambar ihsan Bomba Perak
TELUK INTAN: Seorang lelaki berusia 23 tahun maut manakala empat lagi cedera dalam nahas jalan raya yang membabitkan dua kenderaan di Batu 8, di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kenderaan itu membabitkan Proton Iswara dan pacuan empat roda Ford Rangers.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang digerakkan ke lokasi.
"Terdapat seorang mangsa lelaki dari Proton Iswara telah meninggal dunia dan disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Empat mangsa lelaki dari Ford Rangers cedera dan dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Sabarodzi, ketua operasi melaksanakan size-up dan mengaplikasi konsep SAVER dengan menggunakan peralatan menyelamat.
Mangsa yang maut diserahkan pada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi yang dianggotai seramai lapan orang anggota itu, diketuai oleh PBK I Mohd Rozali Uyop dan tamat pada jam 9.57 malam.
#kemalangan #seorang maut empat cedera #Batu 8 Teluk Intan #pacuan empat roda
;