Seorang maut, dua cedera nahas tiga kenderaan di Jalan Muadzam Shah-Rompin

Azee Shafy
September 11, 2022 10:15 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua lagi mangsa yang tersepit dan cedera di dalam kereta. - Foto ihsan JBPM Pahang
ROMPIN: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Muadzam Shah-Rompin, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.33 pagi.
Susulan itu, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seorang lelaki dewasa dipercayai penunggang motosikal maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
"Tiga kenderaan terlibat kemalangan iaitu sebuah motosikal, kereta Proton Wira dan pacuan empat roda Toyata Hilux.
"Anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan dua lagi mangsa yang tersepit dan cedera di dalam kereta.
"Kedua-dua juga telah dibawa untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti," kata Zulfadli.
#nahas tiga kenderaan #kemalangan maut #Jalan Muadzam Shah-Rompin #penunggang motosikal maut
;