Seorang maut, dua cedera kereta terbabas langgar pembahagi jalan di LPT1

Azee Shafy
September 25, 2022 15:58 MYT
Dua mangsa di hadapan tersepit akibat rempuhan itu, dan seorang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM
BENTONG: Seorang maut manakala dua lagi cedera apabila kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 79, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, dekat Karak, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah hari tadi, dan seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan siasatan awal, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan. Dua mangsa di hadapan tersepit akibat rempuhan itu, dan seorang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kedua-dua mangsa yang tersepit dikeluarkan menggunakan peralatan khas, sementara mangsa yang duduk di belakang hanya mengalami kecederaan," katanya
Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Zulfadli berkata, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM untuk mendapatkan rawatan, sementara mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan proses bedah siasat.
#kemalangan maut #LPT1 #karak #bomba pahang #kereta terbas
;