Seorang maut, dua cedera, 4WD rempuh belakang lori parkir bahu jalan

Aida Aziz
September 6, 2023 07:00 MYT
Sebuah 4WD merempuh belakang sebuah lori yang diparkir di bahu jalan dalam kejadian dekat Hentian Behrang di Tanjung Malim, awal pagi tadi. - Foto JBPM Perak
TANJUNG MALIM: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera setelah kenderaan pacuan empat roda atau 4x4 (4WD) yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diparkir di bahu jalan.
Kejadian berlaku dekat Hentian Behrang di sini, awal pagi tadi, menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad.
Mangsa yang merupakan pemandu 4WD, terkorban di lokasi kejadian.
Sabarodzi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.06 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi.
"Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan 4x4 jenis Isuzu Dmax melanggar belakang sebuah lori membawa muatan motosikal yang diletak di tepi jalan.
"Terdapat tiga mangsa lelaki dari 4x4 tersebut tersepit dan seorang daripadanya, iaitu pemandu, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Sementara itu, pemandu lori selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.
Sabarodzi berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dihantar ke hospital oleh jentera bomba dan ambulans KKM.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jasmi Abdul Kamal itu tamat pada jam 5.53 pagi.
#JBPM Perak #4WD rempuh lori #lori parkir di bahu jalan #Tanjung Malim
;