Seorang maut dalam kemalangan tujuh kenderaan di Lebuh Raya Pasir Gudang

Bernama
Ogos 30, 2024 22:51 MYT
Seorang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 26 Lebuh Raya Pasir Gudang petang tadi. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 26 Lebuh Raya Pasir Gudang di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kemalangan melibatkan tiga lori, sebuah kereta dan tiga motosikal itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 5.45 petang.
"Kejadian itu telah menyebabkan berlaku kesesakan di Lebuh Raya Pasir Gudang dari arah Bandar Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru.
"(Bagaimanapun), pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
-- BERNAMA
#kemalangan tujuh kenderaan #lebuh raya pasir gudang #Polis Daerah Seri Alam #Lori