Seorang maut manakala enam lagi terselamat dalam satu kemalangan yang melibatkan dua buah kenderaan berhampiran sebuah kilang kelapa sawit di sini pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 1.47 petang itu, mangsa, Khairudin Mohamad, 40, maut di tempat kejadian.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata kemalangan tersebut melibatkan tujuh orang dan kenderaan jenis Proton Waja dan Wira.

"Dua buah kenderaan tersebut berlanggar dan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang mangsa wanita tersepit di dalam kereta.

"Pihak bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersepit manakala kesemua mangsa lain telah dikeluarkan oleh orang awam," katanya ketika dihubungi ASTRO AWANI pada Sabtu.

Yahya berkata pihak bomba telah menggunakan alat kecemasan untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada ambulans untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi tamat sekitar 4.15 petang dan turut dibantu oleh PDRM dan JPAM," ujarnya.