Seorang maut, 9 cedera tayar van pecah
Aida Aziz
Julai 24, 2022 20:56 MYT
Julai 24, 2022 20:56 MYT
BAGAN SERAI: Seorang wanita maut manakala sembilan lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera setelah van yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 178.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di sini, hari ini.
Difahamkan kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berpunca daripada tayar van jenis Toyota Hiace yang dinaiki mereka pecah menyebabkan kenderaan itu terbabas.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.22 petang.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai kemudiannya dihantar ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah van Toyota Hiace terbabas.
"Ia dipercayai berpunca daripada tayar van yang pecah. Kemalangan itu membabitkan 10 orang mangsa yang kesemuanya dari van berkenaan.
"Seorang wanita dewasa maut manakala lima wanita dewasa, tiga lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki cedera. Kemalangan itu tidak menyebabkan mereka tersepit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, anggota bomba kemudian membuat rawatan awal kepada mangsa dan menghantar mereka ke Hospital Taiping.
"Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.
Operasi yang diketuai oleh Komander Operasi PBK II Fauziah Baharudin itu tamat pada jam 7.56 malam.