Seorang maut, 4 cedera nahas babit 4 kenderaan di lebuh raya

Aida Aziz
September 7, 2024 12:15 MYT
Pemandu kereta yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. - Gambar/ JPBM
TANJUNG MALIM: Seorang wanita maut, seorang parah manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di kilometer 363.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di sini pagi tadi.

Ringkasan AI
  • Seorang wanita maut, seorang parah, dan dua cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lori, kereta, dan dua motosikal di Lebuhraya PLUS arah selatan pagi tadi.
  • Bomba menerima panggilan pada jam 6.16 pagi, dan tiba di lokasi pada 6.46 pagi. Semua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba.
  • Mangsa yang cedera dibawa ke hospital, manakala mayat diserahkan kepada pihak polis. Operasi tamat pada jam 7.48 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori lima tan, kereta dan dua motosikal.
Katanya, bomba menerima panggilan sekitar jam 6.16 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River sampai ke lokasi pada 6.46 pagi.
"Kemalangan melibatkan empat buah kenderaan dan kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba.
"Terdapat tujuh mangsa iaitu tiga dari lori lima tan yang mana pemandu dan kelindan cedera ringan manakala seorang lagi selamat.
"Dua mangsa dari kereta. Pemandu wanita berusia lingkungan 20-an maut manakala penumpangnya tidak cedera. Dua penunggang motosikal pula seorang cedera ringan dan seorang lagi parah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke tempat selamat dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang membabitkan seramai sembilan anggota bomba itu tamat jam 7.48 pagi.
#kemalangan maut #PLUS #Perak #Tanjung Malim
;