Seorang maut, 4 cedera kemalangan babit dua kenderaan
Azee Shafy
Jun 2, 2023 23:42 MYT
Jun 2, 2023 23:42 MYT
MARAN: Seorang lelaki maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Felda Jengka 6 menghala Felda Jengka 3, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 19.19 malam.
Menurutnya, seramai sembilan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jengka serta jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
"Berikutan kemalangan itu, seorang lelaki yang memandu kereta Toyota Yaris tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Sementara empat mangsa iaitu dua lelaki dewasa dan dua wanita dewasa yang menaiki pacuan empat roda Mitsubishi Triton mengalami kecederaan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Berdasarkan maklumat awal, kenderaan Mitsubishi Triton dipercayai terjatuh ke dalam gaung selepas bertembung dengan Toyota Yaris terbabit.
Zulfadli memberitahu, pasukan Bomba melakukan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
"Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan, dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Sementara mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan," ujarnya.