Seorang maut, 20 diselamatkan daripada kapal kargo yang condong

Bernama
Julai 19, 2015 08:15 MYT
Sekurang-kurangnya seorang anak kapal dilaporkan maut manakala 20 lagi diselamatkan pada Jumaat, selepas kapal kargo Malaysia mengalami masalah condong di laut. - Gambar Fail
Sekurang-kurangnya seorang anak kapal dilaporkan maut manakala 20 lagi diselamatkan pada Jumaat, selepas kapal kargo Malaysia mengalami masalah condong di laut ketika dalam perjalanan dari Loreto
Dinagat, Filipina ke Lianyungang, China.
Malaysian Bulk Carriers Berhad (MBC) berkata satu daripada kapalnya 'MV Alam Manis', dengan 20 anak kapal Filipina, membawa 53,795 tan metrik bijih nikel pukal ketika ia bertolak pada 12 Julai. Kapal itu mula condong sebanyak 14 darjah sisi kanan pada Rabu.
Oleh kerana keadaan cuaca yang buruk, kargo di petak No. 1 dan 2 telah beralih menyebabkan kapal itu condong sebelum kapal penyelamat dihantar pada Jumaat untuk menyelamatkan dan mengiringi kapal terbabit ke pelabuhan terdekat di San Fernando, utara Luzon.
"Kapal terbabit telah memaklumkan mengenai masalah yang berlaku kira-kira 255 batu nautika di tenggara Taiwan.
"MBC dengan segera mengadakan Pusat Kawalan Krisis (CCC) dan kapal itu diarahkan untuk meneruskan perjalanan ke pelabuhan terdekat.
"Bagaimanapun pada Jumaat, pada kira-kira pukul 2.55 petang, keadaan condong bertambah buruk hingga 20 darjah sisi kanan dan pada 6.05 petang, satu keputusan dibuat untuk mengosongkan kapal itu demi kepentingan keselamatan anak-anak kapal dengan bantuan bot tunda penyelamat," katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Sabtu.
Seorang petugas MBC telah dihantar segera ke San Fernando dan usaha dibuat untuk menstabilkan kapal itu serta mengeluarkan kargo sebelum kapal berkenaan ditunda ke limbungan pembaikan.
"Kami amat sedih kerana seorang daripada rakan sekerja kami di kapal Alam Manis telah kehilangan nyawa ketika situasi kecemasan di atas kapal itu.
Kenyataan itu tidak menyatakan bagaimana anak kapal itu meninggal dunia serta nama mangsa.
"Kami lega kerana mereka yang lain di atas kapal kini selamat," kata ketua pegawai eksekutif MBC, Kuok Khoon Kuan dalam kenyataan yang sama.
MBC juga akan menjalankan siasatan dalaman dan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa berkaitan dalam menyiasat kejadian tragik ini, katanya.
#Malaysian Bulk Carriers Berhad #MV Alam Manis
;