Seorang maut, 20 cedera dalam kemalangan bas dan treler di Alor Gajah
Bernama
Ogos 27, 2018 09:21 MYT
Ogos 27, 2018 09:21 MYT
Seorang maut manakala 20 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan sebuah treler di Kilometer 214 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah penumpang bas ekspres berkenaan yang dikenal pasti sebagai Zulhaswan Za'ba, 34.
Menurutnya pemandu lori, R. Selvaraju, 48, dan 19 lagi penumpang bas ekspres yang cedera dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, manakala pemandu bas ekspres, Mohd Zakaria Mohd Salleh, 46, yang tidak mengalami kecederaan turut dibawa ke hospital sama untuk ujian darah.
"Kemalangan tersebut berlaku kira-kira 2 pagi ini. Siasatan awal mendapati bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur ke Terminal Bas Larkin Sentral, Johor dipercayai melanggar belakang treler di bahagian kanan.
"Pelanggaran itu dipercayai mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, PBK II Selomon Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.53 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama sembilan anggota.
Sementara itu, laman Twitter Plusline1800880000, menyatakan lorong kiri di tempat kejadian dibuka dan keadaan trafik pada 5.21 pagi dilaporkan lancar di kedua-dua arah.
Orang ramai dinasihatkan agar pandu berhati-hati dan patuhi isyarat lalu lintas.
-- BERNAMA
#A Asmadi Abdul Aziz
#Alor Gajah
#bomba
#kemalangan
#Lebuhraya Utara-Selatan
#maut
#PLUS
#Plusline
#polis
#Selomon Ismail
#trafik
#treler