Seorang maut, 13 cedera pacuan empat roda dinaiki jatuh gaung

Missel Ernie Bick
September 25, 2022 23:02 MYT
Bomba menerima panggilan kecemasan jam 2.22 petang dan segera menghantar pasukan ke lokasi kejadian. - Gambar/ JBPM
PADAWAN: Seorang maut manakala 13 lagi cedera selepas sebuah pacuan empat roda yang ditumpangi mereka terjatuh ke dalam gaung di Borneo Height Resort di Jalan Puncak Borneo sini, petang Ahad.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Yow Sze Ee, 22, yang merupakan penumpang di dalam kenderaan tersebut.
Difahamkan, semua mereka yang mempunyai pertalian saudara berkunjung dan bermalam di kawasan peranginan itu pada Sabtu.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimansyah, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.22 petang dan segera menghantar pasukan ke lokasi kejadian.
Katanya, turut digerakkan adalah sepasukan anggota bomba sukarela dari Kampung Simpok.
"Setibanya di lokasi kejadian, pasukan segera melaksanakan kerja-kerja penyelamatan, termasuk mengeluarkan Sze Ee yang tersepit," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Sementara itu, difahamkan empat daripada mangsa masih menerima rawatan di zon merah Hospital Umum Sarawak, manakala mangsa yang lain, termasuk warga emas dan dua kanak-kanak di zon kuning.
#kemalangan maut #Puncak Borneo #Borneo Height Resort #jatuh gaung #pacuan empat roda
;