Seorang maut, 11 cedera dalam kemalangan bas 'double decker' dan dua lori

Nazialita Geynna Maharan
Disember 6, 2017 16:49 MYT
Bas dua tingkat terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Kilometer 294 Lebuh Raya Utara Selatan
Seorang penumpang bas terbunuh, apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena dan lori treler.
Kemalangan tiga kenderaan itu berlaku di Kilometer 294 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Pusat Transformasi Bandar Gopeng, Kampar, Perak, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh, Chan Kwai Fah, 43, sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitenden Ng Kong Soon berkata, kemalangan pada 5.45 pagi itu menyebabkan 11 yang lain, termasuk pemandu bas ekspres, lori kontena dan lori treler mengalami kecederaan.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila bas ekspres yang berada di laluan kiri telah melanggar lori treler, manakala lori kontena dari arah sama tidak dapat mengelak dan turut terbabit dalam kemalangan itu.
"Lori kontena tersebut kemudian telah melanggar bahagian belakang bas ekspres itu.
"Mangsa dari Taman Cempaka, Ipoh itu disahkan meninggal dunia kira-kira 8.11 pagi di Hospital Raja Permaisuri Bainun," katanya.
Beliau berkata, polis sedang menyiasat punca kemalangan itu dan kesemua kenderaan itu dibawa ke Puspakom Gopeng bagi pemeriksaan lanjut.
"Pihak polis telah menahan pemandu bas ekspres berkenaan bagi siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.
#bas #bas ekspress #cedera #double decker #Gopeng #Ipoh #Kampar #kemalangan #Lebuh Raya PLUS #Lori #maut #meninggal dunia #polis #tahan pemandu
;