Seorang mangsa kemalangan Perodua Bezza bertembung BMW meninggal dunia
Abd Razak Mohd Ali
Disember 4, 2021 16:54 MYT
Disember 4, 2021 16:54 MYT
SLIM RIVER: Seorang mangsa kemalangan kereta Perodua Bezza yang bertembung dengan BMW di Kilometer 82 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, meninggal dunia di Hospital Slim River.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang dikenali sebagai Asmawati Hashim, 57, meninggal dunia pada pukul 12.24 tengah hari ini.
Sehubungan itu, siasatan kes diubah kepada Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 daripada Seksyen 43 (1) akta yang sama sebelum ini.
Terdahulu Astro AWANI melaporkan tiga wanita, termasuk seorang pelajar sekolah cedera apabila kereta Perodua Bezza yang mereka naiki bertembung dengan BMW di Kilometer 82 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.
Wan Azharuddin berkata, selain pelajar berusia 14 tahun, mangsa lain ialah pemandu kereta berusia 24 tahun dan penumpang berusia 57 tahun.
Bagaimanapun, katanya, pemandu BMW berusia 63 tahun tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 pagi ketika kereta BMW dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Manjung.
“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta Perodua Bezza yang dari arah bertentangan telah masuk ke laluan BMW dan berlaku pertembungan,” katanya.