Seorang lemas, tiga hilang dalam kejadian bot terbalik di Kemaman

Bernama
Ogos 11, 2024 06:30 MYT
Polis sedang mengenal pasti identiti mangsa terlibat dan operasi mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan. -Bernama
CHUKAI: Seorang wanita lemas, manakala tiga individu lagi dilaporkan hilang dalam kejadian bot nelayan dan tongkang berlanggar di perairan Kemaman pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku di kedudukan tujuh batu nautika atau 13 kilometer dari perairan Kuala Kemaman pada 6.30 pagi.
Beliau berkata bot nelayan terbabit dikatakan membawa sembilan penumpang termasuk tekong, kru dan pelancong untuk pergi memancing.
"Penumpang bot terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 23 hingga 79 tahun. Mereka berasal dari Raub, Pahang dan Gombak, Selangor.
"Mangsa yang meninggal dunia ialah seorang wanita, yang hilang pula dua lelaki dan seorang wanita, manakala tiga lelaki dan dua wanita terselamat.
"Kesan perlanggaran itu menyebabkan bot nelayan terbalik lalu karam, kita masih mengesan tongkang yang terlibat dalam pelanggaran itu," katanya ketika dihubungi.
Hanyan berkata polis sedang mengenal pasti identiti mangsa terlibat dan operasi mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan.
-- BERNAMA
#bot nelayan #tongkang #lemas #Kemaman