Seorang lelaki selamat, seorang lagi hilang dalam tragedi memancing di Tasik Pedu

Adie Sufian Zulkefli
Mei 16, 2024 23:03 MYT
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Kedah telah dimaklumkan berhubung kejadian dan operasi menyelamat menggunakan teknik selaman hanya akan dilakukan pagi esok untuk mencari mangsa.
PADANG TERAP: Seorang lelaki berjaya diselamatkan manakala seorang lagi dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki terbalik ketika memancing di Empangan Tasik Pedu, di sini pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Faizal Che Mi tiba di lokasi bersama tujuh anggota tidak lama kemudian.
"Berdasarkan maklumat awal yang diperolehi, mangsa dipercayai melakukan aktiviti memancing bersama rakannya dan terjatuh ke dalam tasik.
"Bagaimanapun seorang daripadanya selamat manakala seorang lagi masih hilang dan operasi pada malam ini masih diteruskan dan hanya dilakukan di permukaan air sahaja.
"Melihat keadaan semasa, selaman tidak dapat dilakukan pada waktu malam kerana risiko cuaca gelap dan kedalaman aras air diambil kira kerana risiko tinggi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Aminudin berkata, pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Kedah telah dimaklumkan berhubung kejadian dan operasi menyelamat menggunakan teknik selaman hanya akan dilakukan pagi esok untuk mencari mangsa.
Mohd Aminudin berkata, bot yang dinaiki mangsa berjaya ditemui dan berada di lokasi kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan jam 7.30 pagi esok.
#lemas #mangsa hilang #jatuh bot #Tasik Pedu #bomba
;