Seorang lelaki maut dihempap tembok konkrit runtuh

Astro Awani
Mei 6, 2017 16:01 MYT
Seorang lelaki warga Myanmar maut dihempap tembok konkrit yang runtuh di sebuah kilang di kawasan perusahaan ringan Taman Makmur, Lunas, Kedah pada Sabtu.
Seorang lelaki warga Myanmar maut dihempap tembok konkrit yang runtuh di sebuah kilang di kawasan perusahaan ringan Taman Makmur, di sini, di Kedah pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa dikatakan sedang melakukan kerja pembersihan tanah berhampiran tembok konkrit yang masih dalam pembinaan setinggi 1.5 meter dan panjang 45.7 meter .
Difahamkan, syarikat berkenaan sedang melakukan pembinaan bangunan tambahan dan terdapat sebuah jengkaut mengorek tanah di tempat mangsa bekerja.
Mangsa terperangkap di bawah runtuhan dinding konkrit dan mayatnya berjaya dikeluarkan pasukan bomba kira-kira jam 1 tengah hari sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Yusri Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.59 pagi dan sepasukan enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
Operasi turut dibantu enam anggota pasukan bomba sukarela Lunas dan Kulim.
#lelaki #mangsa #maut #Myanmar
;