Seorang lelaki maut, 11 terselamat dalam kebakaran di Jalan Ipoh

Bernama
Januari 12, 2022 23:24 MYT
Identiti lengkap mangsa yang merupakan warga tempatan belum diketahui. - Bomba KL
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki meninggal dunia manakala 11 lagi individu selamat dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Dato Haji Yusof Off Jalan Ipoh, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, identiti lengkap mangsa yang merupakan warga tempatan belum diketahui.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian dengan kekuatan lebih 40 anggota dari tujuh balai bomba.
Katanya, siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah bilik di tingkat satu rumah kedai empat tingkat berkenaan.
Jurucakap itu memaklumkan sembilan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan jentera EMRS manakala tiga lagi mangsa menolak untuk dihantar ke hospital.
"Api dapat dikawal pada kira-kira 6 petang dan padam sepenuhnya 6.55 petang manakala punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#kebakaran jalan Ipoh #rumah kedai #bilik penginapan #rentung
;