Seorang lagi suspek gangguan seksual masih gagal diberkas, kata Prasarana

Astro Awani
Disember 18, 2017 15:27 MYT
Penularan di media sosial mengenai gangguan seksual di LRT mungkin menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menangkap suspek. - foto AstroAWANI
Seorang lagi suspek gangguan seksual di dalam tren Prasarana yang tular di media sosial masih gagal diberkas, kata Prasarana Malaysia Berhad.
“Pada 14 Disember, terdapat empat kes gangguan seksual berlaku dalam rangkaian rel Rapid KL direkodkan.
“Suspek yang terlibat dalam tiga kes telah ditangkap tidak lama selepas mangsa melaporkan insiden ini kepada Polis Bantuan yang bertugas di stesen.” kata Lim Jin Aun, Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana.
Dalam kes keempat, Polis Bantuan telah mengejar suspek apabila dilaporkan oleh mangsa namun suspek berjaya memboloskan diri.
Menurut Jin Aun, polis bantuan Prasarana telah mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan telah menyerahkan rakaman kepada pihak polis bagi membantu untuk menangkap suspek.
“Kami juga telah bertemu dengan mangsa dan memberi jaminan bahawa kejadian itu akan disiasat dengan teliti.
"Kami ingin menyakinkan para penumpang, bahawa polis bantuan kami sentiasa mengadakan rondaan sama ada dalam seragam atau berpakaian preman di sepanjang rangkaian kendalian Prasarana.
"Sekali lagi, kami ingin meminta penumpang yang menjadi mangsa gangguan untuk menghubungi polis bantuan secepat mungkin, dan memberikan kerjasama erat kepada kami untuk memberkas suspek,'' katanya.
Ujarnya, Prasaran faham kegusaran pengguna melalui maklum balas menerusi media sosial tetapi perlu dingatkan, penularan di media sosial boleh menyukarkan usaha pihak berkuasa menangkap supek.
Sepanjang tahun ini, Prasarana berjaya memberkas 21 daripada 22 suspek yang terlibat dalam kejadian gangguan seksual yang dilaporkan.
Selain itu 13 suspek turut ditahan sepanjang tahun ini kerana disyaki menggangu penumpang di atas pengangkutan awam.
#gangguan seksual #Kuala Lumpur #Lim Jin Aun #LRT #Malaysia #mangsa #media sosial #polis #polis bantuan #prasarana #Prasarana Malaysia Berhad #Rapid KL #rel Prasarana #suspek
;