Seorang lagi mangsa runtuhan kerangka bumbung maut
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 15, 2019 23:50 MYT
Februari 15, 2019 23:50 MYT
Seorang lagi mangsa cedera parah dalam kejadian runtuhan kerangka bumbung sebuah kilang di Lorong Perusahaan Maju 8, Juru, meninggal dunia.
Mangsa, Amir Udin Abol Kasim, warga Myanmar berusia 20 tahun, meninggal dunia di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada pukul 6.20 petang Jumaat ketika menerima rawatan.
Kematiannya menjadikan jumlah yang maut dalam kejadian itu seramai tiga orang.
Sebelum itu, dua mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian – warga tempatan, P. Kumar, 46 tahun dan seorang lelaki Myanmar, Rofi Khan, 32.
Tiga lagi mangsa sedang menerima rawatan di HSJ iaitu dua warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.
Mereka dilaporkan kritikal akibat kecederaan parah di kepala.
Namun identiti mereka belum dapat dikenal pasti dan polis pada masa sama sedang menyiasat jika mereka mempunyai dokumen serta permit kerja yang sah.
Dalam kejadian pada 4.45 petang Jumaat, tiang dan kerangka bumbung sebuah kilang yang masih dalam pembinaan runtuh dan menghempap enam pekerja.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, siasatan awal polis mendapati struktur tiang berkenaan dilanggar oleh pemandu kren.
Katanya, pemandu kren yang turut maut dalam kejadian itu terlanggar satu tiang sebelum ia jatuh ke atas tiang-tiang bersebelahan dan meruntuhkan kerangka bumbung.
Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan, tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, sepasukan anggota dari BBP Prai diketuai Pegawai Operasi, A'azelan Hassan, bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.
"Ketika insiden berlaku, kita dimaklumkan lebih kurang 30 orang pekerja berada di tempat kejadian. Mereka ini baru habis syif dan baru hendak pulang.
"Kalau semua tengah bekerja lagi, rasanya lagi ramailah mangsa yang terlibat," katanya.
Tambahnya, turut terbabit dalam operasi menyelamat ialah jentera dari BBP Bandar Perda dan BBP Bukit Mertajam selain dibantu pasukan bomba sukarela.