Seorang lagi mangsa rabies meninggal dunia di Sarawak

Afiezy Azaman
November 11, 2020 10:55 MYT
KKM menasihatkan orang awam segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit haiwan liar atau haiwan peliharaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, sekali gus menjadikan keseluruhannya lima kes di negeri itu tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu juga menjadikan sejumlah 27 kes rabies dikesan di Sarawak sejak kes pertama pada 31 Julai 2017.
"Kes terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 15 Oktober kerana mengalami lemah anggota badan sehingga tidak mampu berjalan.
"Mangsa mengalami kesukaran tidur akibat halusinasi, hilang selera makan dan kesukaran minum sebelum dimasukkan ke hospital.
"Mangsa telah meninggal dunia pada 20 Oktober selepas didiagnos 'rabies encephalitis'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, siasatan mendapati tiada sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku kepada mangsa.
Namun, mangsa ada memelihara tujuh ekor kucing di mana lima daripadanya telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies.
"Suntikan diberikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehari selepas mangsa ini mengalami gejala. Kesemua kucing sihat dan tiada perubahan tingkah laku.
"Keluarga mangsa memaklumkan, tiada haiwan yang didapati sakit atau mati dalam tempoh enam bulan di kawasan lokaliti rumah kes," jelasnya.
Tambah beliau, walaupun kes ini tidak dapat dikaitkan dengan sejarah gigitan anjing atau haiwan, secara umumnya diketahui bahawa jangkitan rabies adalah disebabkan oleh gigitan haiwan yang terjangkit dengan virus rabies (rabid animal).
"Mangsa telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 20 Oktober 2020.
"Justeru, Sarawak masih belum bebas rabies," kata Dr Noor Hisham.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang awam segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran jika digigit haiwan liar atau haiwan peliharaan.
"Cuci bahagian tubuh yang digigit menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.
"Pastikan haiwan peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies," katanya.
KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh, tambahnya.
#Noor Hisham Abdullah #meninggal dunia #Kementerian Kesihatan #KKM #rabies #Sarawak #halusinasi #gigitan anjing #kucing #mangsa #kesukaran tidur #Hospital Umum Sarawak
;