Seorang lagi mangsa lemas di Tenom ditemukan
Bernama
Jun 18, 2020 21:56 MYT
Jun 18, 2020 21:56 MYT
Seorang lagi mangsa daripada tiga beranak yang hilang di Sungai Pegalan, Kampung Kalang Kanar, Tenom, dipercayai lemas selepas perahu yang mereka naiki terbalik semalam, berjaya ditemukan, hari ini.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom Zainal Sinsian berkata mayatJun Kama, 40, yang juga bapa kepada dua lagi mangsa tragedi terbabit ditemukan pada 9.49 pagi, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
"Mangsa ditemukan orang awam yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat bermula 7 pagi tadi. Mayat mangsa kemudiannya terus dihantar ke Hospital Tenom untuk proses bedah siasat.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan bagi mencari seorang lagi anak mangsa berusia 10 tahun yang masih hilang. Pencarian akan diteruskan di kawasan sekitar Sungai Pegalan dan dilakukan secara berperingkat sehingga mangsa dapat ditemukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, tiga beranak termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dan 10 tahun hilang selepas perahu yang dinaiki terbalik, ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.
Bagaimanapun, hanya mayat Nazri Jun, 8, ditemukan dan operasi untuk mencari dan menyelamat abangnya Madrais,10, yang ditangguhkan 4.45 petang tadi akan disambung semula esok.
-- BERNAMA