Seorang lagi mangsa kemalangan di New Zealand meninggal dunia

Bernama
Disember 8, 2019 09:26 MYT
Jumaat lepas, lima sekeluarga rakyat Malaysia terlibat kemalangan ketika bercuti di negara berkenaan.
Seorang lagi mangsa kemalangan di Kaikoura, New Zealand disahkan meninggal dunia pada 6.30 petang waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) hari ini.
Mangsa itu adalah Nur Irfan Adanan, 15, yang juga anak sulung kepada pasangan suami isteri, Dr Rumihati Abd Hamid, 49, dan Adanan Jemain, 49, yang maut bersama anak kedua mereka, Maisarah Arifah Adanan, 13, dalam kejadian terbabit.
Perkara itu disahkan oleh anak saudara Allahyarham Dr Rumihati, Afifah Saiffuddin, 33, yang menerima berita itu daripada ahli keluarganya yang kini berada di Hospital Christchurch, New Zealand.
"Ahli keluarga yang datang ke sana sempat bertemu arwah (Nur Irfan) sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kerana arwah memang kritikal selepas kemalangan itu," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Ulu Putatan di sini hari ini.
BACA: Tiga warga Malaysia maut nahas di New Zealand
BACA: Keluarga sepakat kebumikan mangsa kemalangan di New Zealand
Menurut Afifah, kesemua jenazah dijangka dikebumikan esok dan kini sedang dalam proses menunggu kebenaran untuk proses pengebumian di Christchurch.
Beliau berkata solat ghaib di sini untuk jenazah hanya akan dilakukan selepas semua urusan di New Zealand selesai.
Katanya, anak bongsu mangsa yang cedera dalam kemalangan itu, Nur Arifah, 11, mendapat rawatan di Hospital Wellington dilaporkan stabil dan kini ditemani ahli keluarga lain yang baru tiba tengah hari tadi waktu tempatan.
Jumaat lepas, tiga rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia manakala dua lagi parah ketika bercuti di negara berkenaan.
Mereka sekeluarga yang menaiki kereta sewa terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura pada 3.10 petang waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).
-- BERNAMA
#kemalangan new zealand #maut kemalangan #meninggal dunia #rakyat Malaysia #warga Malaysia