Seorang lagi mangsa kemalangan babitkan Honda Jazz meninggal dunia
Sinar Harian
Mac 10, 2025 22:45 MYT
Mac 10, 2025 22:45 MYT
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa Aisar Azim Abdullah, 17 disahkan meninggal dunia jam 7.23 malam ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ). - Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini Khamis lalu disahkan meninggal dunia pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa Aisar Azim Abdullah, 17 disahkan meninggal dunia jam 7.23 malam ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini.
"Mangsa adalah penunggang motosikal Honda Vario yang dinaiki bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun.
"Sekarang, tiga yang parah masih dirawat di hospital sama iaitu rakan kepada Aisar Azim dan pemandu serta penumpang Honda Jazz masing-masing berusia 18 dan 17 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu Sinar Harian difahamkan jenazah dijangka akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah di Sikamat.
Dalam kejadian 8.30 malam Khamis lalu, dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.
Bagaimanapun, kenderaan dipandu gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Kemalangan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berusia 15 dan 16 tahun cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mereka yang meninggal dunia ialah Muhammad Aidil Ramdan, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16.
Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario cedera parah menerima rawatan di HTJ.