Seorang lagi anggota polis terbunuh di Sabah

Bernama
Mac 2, 2013 23:16 MYT
Seorang lagi anggota keselamatan negara terkorban, kali ini dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di kampung Selamat, Semporna, Sabah iaitu kira-kira 150 kilometer dari Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu malam ini.
Menurut sumber polis, pertempuran yang berlaku pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan seorang anggota cedera.
Difahamkan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Lahad Datu dan Tawau telah digegaskan ke sana bagi memberi bantuan.
Difahamkan penceroboh merancang menyerang Balai Polis Lahad Datu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana identiti kedua-dua anggota keselamatan itu belum dikenal pasti.
Pada Jumaat, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban dan tiga lagi anggota pasukan keselamatan negara cedera selepas berlaku insiden tembak-menembak apabila kumpulan penceroboh itu bertembung dengan pasukan keselamatan negara.
Dilaporkan 12 orang daripada kumpulan penceroboh turut terbunuh.
Dua yang terkorban ialah ASP Zulkifli Mamat, 29 dan Sarjan Sabarudin Daud, 46.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan berlaku kejadian tembak-menembak di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Menurut Ismail di dalam laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia, kejadian itu susulan daripada pemeriksaan pihak polis ke atas sebuah premis di situ.
"Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.
"Pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit.
Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang," katanya.
Beliau berkata dalam kejadian itu beberapa anggota polis dilaporkan tercedera.
Sementara itu di LAHAD DATU, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata dua anggota polis cedera dalam kejadian tersebut.
Hamza bagaimanapun menafikan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna diserang dan berkata keadaan di Semporna terkawal serta tidak ada perintah berkurung dilaksanakan.
Menurut Hamza setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tembakan itu dan polis masih menyiasat suspek yang bertanggungjawab. --BERNAMA
#Filipina #Ketua Polis Negara #penceroboh #Sulu #Tan Sri Ismail Omar
;