Seorang lagi ahli PKR dipecat, tiga digantung keahlian
Haider Yutim
Jun 4, 2014 17:54 MYT
Jun 4, 2014 17:54 MYT
Seorang lagi anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini telah dipecat, manakala tiga lagi digantung keanggotaan berikutan kekacauan yang timbul pada pemilihan parti itu baru-baru ini.
Perkara tersebut diputuskan Lembaga Disiplin Keadilan yang dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anggota-anggota Biropolitik yang lain.
Menurut satu kenyataan oleh Pengerusi Lembaga tersebut, Datuk Dr Tan Kee Kwong, keputusan itu dibuat setelah siasatan berkaitan tatatertib dan disiplin anggota dijalankan dan dibentangkan dalam mesyuarat Biropolitik bertarikh 3hb Jun 2014.
"Lembaga Disiplin Keadilan telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, ahli PKR yang dipecat ialah Azrai Abdullah (Cabang Hulu Langat), kerana telah menyalahguna kedudukan sebagai Ketua Pengawas Pemilihan sewaktu proses pengundian di Cabang Batang Sadong pada 26hb April 2014.
Tiga ahli PKR yang digantung keahlian pula ialah Jol Jolhi Bee (Cabang Batang Sadong), Shanmuganathan Velu (Cabang Selayang) dan Patmanathan Nadarajan (Cabang Selayang)
Jol telah digantung kerana didakwa terlibat menanda kertas-kertas undi lain sewaktu proses pengundian, manakala Shanmuganathan dan Patmanathan digantung kerana didapati terlibat merempuh masuk ke dalam dewan dan mengganggu proses pengundian.
Jol digantung keanggotaan parti serta merta sehingga siasatan selesai, manakala Shanmuganathan dan Patmanathan pula digantung keanggotaan selama setahun.
Sementara itu, dua anggota PKR diberi amaran keras dan ditarik balik penggantungan keanggotaan setelah mendengar hujah dan bukti responden-responden.
"Sesi pendengaran bagi yang berikut telah diadakan pada 31hb Mei 2014. Setelah mendengar hujah dan bukti responden-responden, Biropolitik telah bersetuju untuk memberi amaran keras serta menarik balik penggantungan keanggotaan bagi Norizan Omar dan Azman Yaakob,"
Kedua-dua individu tersebut adalah dari PKR Cabang Selayang.
Pada 20 Mei lepas, empat anggota parti PKR dipecat sementara 10 anggota lain digantung keahlian setelah Lembaga Disiplin Keadilan meneliti beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota.
Pemilihan PKR 2014 menyaksi berlaku beberapa kekecohan terutama di Selangor hingga menyebabkan lebih 10 Cabang terpaksa dibatalkan pemilihan yang telah dijalankan.
Menurut ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepincangan yang berlaku adalah akibat campur tangan pihak luar termasuk gangster.
Bagaimanapun Anwar mengakui pemilihan parti tersebut kali ini mempunyai kelemahan dan sistem pengundian yang dijalankan PKR perlu dilihat kembali untuk ditambah baik.