Seorang kanak-kanak maut, lima hilang kejadian bot karam

Radhi Muslim
Mac 1, 2019 21:52 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala lima individu masih hilang dan lima mangsa lagi selamat apabila sebuah bot pancung membawa 11 individu dilaporkan terbalik berdekatan perairan Pulau Nunuyan, dekat sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa-mangsa yang terselamat berumur di antara 19 hingga 29 tahun, sementara yang masih hilang berumur antara setahun hingga 38 tahun.
Kanak-kanak lelaki yang disahkan terkorban itu pula berumur tujuh tahun.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang melakukan latihan terserempak bot tersebut pada kira-kira jam 12.15 tengah hari Jumaat.
"Sebaik didekati, lima mangsa berpaut pada bot dan diselamatkan. Mangsa dan bot kemudiannya dibawa ke Markas Wilauah Laut Dua sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk dirawat.
"Namun, seramai enam mangsa dilaporkan hilang selepas bot pancung dinaiki mereka disyaki terbalik," katanya dalam satu sidang media, pada Jumaat.
Katanya, pihaknya kemudian menerima laporan daripada TLDM lalu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada jam 2.03 petang.
"Pasukan SAR kemudiannya menemui mayat bayi lelaki tujuh tahun terapung, manakala (mangsa-mangsa) yang lain belum ditemui lagi. SAR kini masih giat dijalankan," katanya.
Katanya, bot disyaki dari Pulau Taganak, Filipina dan dipercayai masuk ke Sandakan.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa pemegang kad pengenalan sementara Malaysia," katanya lagi.
#bot pancung terbalik #Filipina #kejadian bot karam #Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid #perairan Pulau Nunuyan #Pulau Taganak #Tentera Laut Diraja Malaysia
;