Seorang kanak-kanak maut, dua rakan parah dihempap tiang elektrik
Adie Sufian Zulkefli
November 29, 2022 21:01 MYT
November 29, 2022 21:01 MYT
BUKIT KAYU HITAM: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut manakala dua lagi rakannya parah dipercayai dihempap tiang elektrik dalam kejadian di Jalan K16, Kampung Belukar dekat Changlun petang tadi.
Pengarah Bomba Negeri Kedah, Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba terdapat tiga kanak-kanak berusia 10 hingga 11 tahun dihempap tiang elektrik konkrit.
“Hasil maklumat awal kanak-kanak terbabit dipercayai bermain berdekatan tiang letrik yang dilonggokan di tepi jalan berkenaan dan dipercayai tiang letrik berkenaan telah terjatuh dan menghempap mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sayani berkata, anggota berjaya mengalihkan tiang elektrik itu dengan bantuan jengkaut dan mengeluarkan mangsa.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi berkata, kanak-kanak berusia 10 tahun yang maut itu ditemui di bawah tiang elektrik.
“Mangsa maut ditempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
“Polis sedang mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.
Manakala dua lagi mangsa berusia 10 dan 11 tahun cedera parah di bahagian paha dan pinggang.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, polis sedang menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.