Seorang kakitangan HTF disahkan positif COVID-19

Bernama
Mac 19, 2020 21:30 MYT
Dr Noor Hisham berkata pihak hospital telah mengenal pasti kontak-kontak rapat dan menjalankan saringan COVID-19 terhadap mereka, serta ahli keluarga terdekat pegawai tersebut. - Gambar fail
Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada Khamis mengesahkan, seorang kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, didapati positif COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan tiba di tanah air, pada 8 Mac.
"Beliau telah dimasukkan ke wad pada 16 Mac dan disyaki jangkitan paru-paru (pneumonia) dan dehidrasi.
"Ujian makmal di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati beliau positif terhadap COVID-19 pada 18 Mac," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, Khamis.
Dr Noor Hisham berkata pihak hospital telah mengenal pasti kontak-kontak rapat dan menjalankan saringan COVID-19 terhadap mereka, serta ahli keluarga terdekat pegawai tersebut. Pembersihan dan pembasmian kuman di kawasan berkaitan juga telah dilakukan.
Beliau berkata semua pesakit dan orang awam tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka, kerana pihak HTF telah mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang perlu.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Facebook #Hospital Sultanah Bahiyah #Hospital Tuanku Fauziah #jangkitan #jangkitan paru-paru #kakitangan hospital #kesihatan #kontak rapat #koronavirus #Noor Hisham Abdullah #penyakit berjangkit #Perlis #pesakit #saringan #Turki