Seorang EXCO Kedah disahkan positif COVID-19 - Jabatan Kesihatan

Abd Hadi Che Awang
Oktober 1, 2020 17:59 MYT
Difahamkan, EXCO berkenaan merupakan kontak rapat kepada pembantu kanannya yang didapati positif COVID-19 pada Selasa.
ALOR SETAR: Seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah yang pergi ke Sabah untuk membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) disahkan positif COVID-19 selepas pulang dari negeri berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang menjelaskan EXCO berkenaan sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk menerima rawatan lanjut.
Menurutnya, JKN Kedah ketika ini sedang mengenal pasti semua kontak rapat EXCO terbabit dalam tempoh 14 hari termasuk ahli keluarganya.
"Setakat ini JKN hanya mengesan kes postif EXCO berkenaan sahaja dan tiada EXCO yang lain dijangkiti," katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, EXCO berkenaan merupakan kontak rapat kepada pembantu kanannya yang didapati positif COVID-19 pada Selasa.
BACA: COVID-19: "Mula-mula negatif, sekarang positif" - ADUN Ayer Limau
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu sidang media mengesahkan tiga EXCO kerajaan negeri tidak menghadiri mesyuarat mingguan EXCO Kedah yang dijalankan pada Rabu.
Menurutnya, kesemua mereka yang baharu sahaja pulang dari negeri Sabah dan menjalani proses kurantin di rumah masing masing selepas melakukan ujian saringan COVID-19.
#exco Kedah #positif #COVID-19 #negeri kedah #Exco #ujian saringan #HSB #Hospital Sultanah Bahiyah
;