Seorang dikhuatiri lemas di Sungai Puchong

Afiezy Azaman
Februari 17, 2020 17:00 MYT
Anggota penyelamat masih melakukan kerja-kerja mencari mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Puchong.
Seorang individu dikhuatiri lemas di Sungai Puchong berhampiran Bangunan Indah Water, Taman Angkasa, ibu negara, pada Isnin.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan, menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang ternampak dua mangsa lemas di lokasi tersebut pada pukul 11.28 pagi.
Sehubungan itu, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil, Sri Petaling dan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke tempat kejadian.
"Setibanya anggota, seorang daripada mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi telah hanyut dibawa arus.
"Mangsa yang selamat merupakan seorang lelaki dewasa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan lanjut," kata kenyataan PGO dalam kenyataan media pada Isnin.
Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, ketika ini anggota dan Unit PPDA sedang melakukan kerja mencari dan menyelamat mangsa kedua yang telah hilang di sungau tersebut.
"Anggota menggunakan kayak sepanjang Sungai Kuching menghala ke Puchong," jelasnya lagi.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur #lemas #Sungai Puchong #Unit Pasukan Penyelamat Di Air
;