Seorang bekas penjawat awam ditahan tipu diculik
Bernama
Mei 22, 2014 08:18 MYT
Mei 22, 2014 08:18 MYT
Polis menahan seorang bekas penjawat awam kerana memeras ugut isterinya selepas mendakwa dia diculik sehingga meminta wang tebusan sebanyak RM8,000 dua minggu lepas.
Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun berkata lelaki yang berumur awal 30-an itu ditahan semasa mengeluarkan wang dari mesin teller automatik (ATM) pada kira-kira jam 3.00 petang di sekitar bandaraya ini, pada 16 Mei lalu.
"Pada 15 Mei, isteri mangsa yang berumur 22 tahun menerima beberapa keping gambar mangsa dan meminta memasukkan wang ke dalam akaun untuk membebaskannya.
"Hasil siasatan lanjut, polis mendapati dia mengadakan-adakan cerita diculik oleh sekumpulan lelaki pada 7 Mei lalu," katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Jauteh berkata polis turut merampas sembilan sim kad termasuk salah satu daripadanya digunakan untuk menghubungi isterinya dan melakukan pemerasan.
Dalam perkembangan lain, katanya, polis menahan seorang suspek tanpa pengenalan diri kerana melakukan rompakan bersenjata di Telipok pada pukul 9.45 malam, Isnin lepas.
Beliau berkata polis menemui sebilah pedang samurai bersama suspek lelaki yang berumur 29 tahun dipercayai digunakan untuk merompak serta sebuah motosikal curi.
"Polis sedang menjejaki seorang lagi rakan suspek kerana melakukan rompakan bersenjata ke atas seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang kerugian kira-kira RM4,000 pada kejadian 4.30 petang itu, Sabtu lepas," katanya.